• nabalunews

COVID-19: DR NOOR HISHAM RAYU MASYARAKAT TIDAK BOHONGI PETUGAS KESIHATAN


27 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini merayu masyarakat agar tidak menipu petugas kesihatan dengan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan COVID-19.

"Jangan tipu frontliners, kami juga perlu dilindungi, ada keluarga dan rakan-rakan, jangan aniaya frontliners," katanya menerusi Facebook, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk perkongsian seorang doktor yang membuat hantaran menerusi Facebook mengenai pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan menyebabkan petugas kesihatan menjadi mangsa COVID-19.


Dalam hantarannya yang turut dikongsikan oleh Dr Noor Hisham dalam akaun Facebooknya, doktor wanita itu berkata terdapat seorang pesakit datang ke hospital untuk janji temu imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Pesakit mengaku sihat ketika disaring di pintu masuk jabatan dan dibenarkan masuk kerana suhu badan juga normal, kata doktor itu dalam hantarannya.

"Saya merupakan doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan ( penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya). Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit COVID-19.

"Apabila ditanya semula, akhirnya dia mengaku yang dia batuk dan demam selama seminggu, tetapi berasa sedikit sihat untuk datang ke janji temu CT. Ternyata tindakannya menyusahkan orang lain. Pesakit itu disahkan positif COVID-19 selepas dua hari," tulisnya.

Susulan itu, doktor terbabit menjalani ujian calitan COVID-19 dan turut disahkan positif jangkitan tersebut.

Beliau yang berasa kecewa dengan sikap pesakit berkenaan meluahkan rasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan keluarga.

"Keputusan swab mendapati saya positif. Saya menangis semasa dapat tahu sebab sedih terpaksa terpisah dengan anak-anak dan suami. Risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin saya jangkiti. Kecewa terhadap sikap pesakit saya.

"Mohon jangan tipu kami sekiranya anda bergejala. Tindakan anda melibatkan pesakit-pesakit lain, petugas kesihatan serta keluarga mereka. Kami juga manusia," tulisnya.

Pada 22 Dis lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan 1,880 petugas kesihatan disahkan positif COVID-19 menerusi saringan yang dibuat setakat 15 Dis. - Bernama