Covid-19: Dua kluster baharu dikesan libatkan sekolah di Ranau, Kota Marudu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Dua kluster baharu dikesan libatkan sekolah di Ranau, Kota Marudu


16 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Dua kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan dua buah sekolah iaitu SMK Kota Marudu dan SMK Bundu Tuhan Ranau.


Kluster itu dikenali sebagai Kluster Jalan Bandau di daerah Kota Marudu dan Kluster Jalan Sokid di daerah Ranau.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Bandau Kota Marudu melibatkan pelajar asrama SMK Kota Marudu 1.


Beliau berkata, indeks kes merupakan seorang pelajar lelaki, warganegara, berumur 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Februari 2022.


“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas telah mendapati pertambahan 95 kes.


“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 96 kes positif setakat 16 Februari 2022. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat yang tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Sementara itu, Masidi berkata Kluster Jalan Sokid di Ranau juga merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan SMK Bundu Tuhan.


Ujarnya, indeks kes adalah seorang lelaki, 24 tahun, warganegara dan merupakan seorang pekerja kontrak pembersihan di sekolah terbabit, yang dikesan melalui saringan bergejala pada 4 Februari 2022.


“Daripada 41 kontak rapat yang disaring, 27 individu terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas didapati positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28 kes, termasuk 17 kes baharu hari ini.


“Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuaranti,” katanya.

bottom of page