Covid-19: Dua lagi kluster pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Dua lagi kluster pendidikan dilaporkan di Sabah hari ini


18 Februari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi merekodkan dua lagi kluster Covid-19 melibatkan institusi pendidikan di daerah Keningau dan Kota Marudu. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster tersebut dikenali sebagai Kluster Bukit Langsat di daerah Keningau dan Kluster Kampung Lampada di Kota Marudu. Katanya, jangkitan Covid-19 Kluster Bukit Langsat membabitkan pelatih di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Keningau. Ujarnya, kluster terbabit yang dikesan pada 10 Februari lalu kini bertambah tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes hasil saringan ke atas 77 kontak rapat, khususnya di asrama wanita iaitu Blok Cempaka dan Blok Dahlia. "Kes indeks ialah wanita tempatan, 21, iaitu pelatih yang tinggal di asrama institusi terbabit. Semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, bagi Kluster Kampung Lampada pula, ia membabitkan warga SK Lampada. "Kes indeks adalah wanita tempatan, 36, yang juga Pembantu Pengurusan Murid di asrama sekolah itu yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 15 Februari lalu. "Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 24 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini. Masidi berkata bagi kedua-dua kluster terbabit, semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya di samping kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin

bottom of page