• nabalunews

COVID-19: ENAM LAGI KES KEMATIAN DILAPORKAN DI SABAH, 24 OKT


24 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Enam daripada tujuh kes kematian yang dilaporkan di seluruh negara pada hari ini adalah di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di seluruh Malaysia adalah sebanyak 221 kes atau 0.9 kes daripada jumlah keseluruhan kes setakat ini.

Beliau berkata, kesemua kes adalah lelaki tempatan berusia antara 47 tahun hingga 88 tahun dan mempunyai pelbagai latar belakang penyakit termasuk darah tinggi asma, gout, kencing manis, parkinson, katarak, buah pinggang kronik, dan penyakit jantung.

“Kes kematian ke-215 melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 88 tahun meninggal dunia di Hospital Tuaran. Kes ke-216 juga lelaki tempatan, 60 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

“Kes ke-217, seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun meninggal dunia di Hospital Tawau. Kes kematian ke-218 dan ke-219 adalah lelaki tempatan berumur 72 dan 75 tahun, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent dan kes ke-220 berlaku di Hospital Lahad Datu juga melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-221 berlaku di Hospital Pulau Pinang melibatkan lelaki warganegara berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, buah pinggang kronik dan hydrocephalus.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 92 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan.