Covid-19: Hanya Nabawan berstatus zon hijau
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Hanya Nabawan berstatus zon hijau


28 Januari 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Nabawan merupakan satu-satunya daerah di Sabah yang bebas daripada jangkitan Covid-19 buat masa ini. Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun, Nabawan juga adalah satu-satunya daerah yang berjaya mencapai sifar kes selama 14 hari berturut-turut. Ini berikutan jumlah kes di Sabah yang semakin meningkat susulan pertambahan dua kluster jenis pendidikan di negeri ini. Manakala, jumlah kes harian di Sabah terus meningkat hari ini dengan pertambahan 16 kes lagi berbanding semalam menjadikan jumlah keseluruhan 358 kes. “Sebanyak lapan daerah daripada 11 daerah yang mencatatkan kes dua angka merekodkan kes-kes baharu yang agak tinggi. “Antaranya, Kota Kinabalu 66 kes, Sandakan 41 kes, Tuaran 39 kes, Penampang 32 kes, Beaufort 27 kes, Tawau 24 kes, Papar 22 kes dan Putatan 20 kes. Lapan daerah lagi mencatatkan kes pada satu (1) angka dan tidak ada rekod kes baharu di lapan (8) daerah yang lain,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini. Ujarnya lagi, peratusan kes baharu yang datang daripada kluster-kluster aktif naik kepada 13.13 peratus atau 47 kes hari ini. Angka-angka ini datang daripada kluster-kluster yang aktif dengan dua daripadanya adalah daripada kluster baharu hari ini. Sementara itu, dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di Keningau dan satu lagi kes di Lahad Datu. “Bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 177 termasuk yang discaj dari hospital menjadikan jumlah kumulatif 238,698 orang. Manakala 792 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 363 orang di hospital, 415 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 14 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS). “Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 19 orang merangkumi 17 di ICU serta dua di open ward kubikel akut dan tujuh orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. “Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 10,” katanya.

bottom of page