Covid-19: Jangkitan baharu di Kota Kinabalu terus meningkat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Jangkitan baharu di Kota Kinabalu terus meningkat



11 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah jangkitan harian kembali di bawah paras angka 200 hari ini dengan 164 kes baharu, penyusutan 44 kes berbanding angka jangkitan semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Bagaimanapun beliu berkata, angka jangkitan yang menurun hari ini tidak semestinya mencerminkan keadaan yang telah bertambah baik.


“Seperti lazimnya jumlah sampel ujian pada hujung minggu adalah lebih rendah daripada hari-hari biasa. Dengan hanya 1,465 sampel ujian, ia menghasilkan angka positif harian yang lebih rendah walaupun dengan kadar positiviti yang tinggi 14.5 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, lebih banyak daerah merekodkan penurunan jangkitan harian berbanding daerah yang mencatat pertambahan kes baharu.


Katanya, Sandakan yang mencatatkan 23 kes kelmarin bersih daripada sebarang jangkitan hari ini. Perkara yang sama berlaku di Lahad Datu yang ‘sifar kes’ hari ini setelah merekodkan 12 kes sebelumnya. Penampang mencatat angka jangkitan yang jauh lebih rendah dengan 13 kes berbanding 30 kes semalam.


“Bagaimanapun jangkitan baharu di Kota Kinabalu terus meningkat dengan 120 kes baharu, pertambahan 16 kes berbanding jumlah sebelumnya.


“Sebanyak 71.6 peratus daripada kes-kes baharu di Kota Kinabalu hari ini adalah melalui jangkitan sporadik, satu petanda bahawa risiko jangkitan di Bandaraya adalah tinggi.


“Angka jangkitan boleh terus bertambah sekiranya kita gagal mematuhi SOP dan saranan penjagaan kesihatan yang lain,” katanya.


Katanya lagi, sebanyak 15 daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu hari ini termasuk Kota Belud, Lahad Datu, Sandakan dan Sipitang yang sebelumnya ada kes jangkitan.


“Tenom dan Pitas pula yang bersih daripada jangkitan kelmarin kembali merekodkan jangkitan baharu hari ini. Selain Kota Kinabalu yang merekodkan kes baharu tiga angka hanya satu daerah lain iaitu Penampang merekodkan kes baharu dua angka,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page