Covid-19: Jangkitan kes sporadik di Sabah semakin meningkat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Jangkitan kes sporadik di Sabah semakin meningkat


3 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jangkitan kes sporadik di negeri ini semakin meningkat, iaitu 71.18 peratus daripada jumlah kes harian Covid-19 yang dicatatkan hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, peratusan kes bergejala melalui jangkitan sporadik hari ini adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan di Negeri Sabah.


“Sebanyak 23 daripada 27 daerah juga memperlihat trend yang sama, di mana kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.


“Sementara itu, Sabah telah mencatatkan peningkatan sebanyak 481 kes berbanding semalam, menjadikan angka jangkitan baharu Negeri Sabah berjumlah 2,717 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 346,665 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Ujarnya, dearah Kota Kinabalu kembali mencatatkan kes empat angka iaitu 1,350 kes pada hari ini. Angka ini adalah 49.68 peratus atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes baharu negeri Sabah.


Bagaimanapun sebahagian besar daripada jumlah kes di Kota Kinabalu merupakan kes-kes tertunggak (backlogs) yang baru didaftarkan.


“Sebagai misalan, 556 kes yang dicatatkan di Kota Kinabalu pada hari ini adalah kes-kes tertunggak melebihi 9 hari.


“Apa yang lebih membimbangkan ialah hampir 84% kes baharu di Kota Kinabalu merupakan kes-kes jangkitan sporadik dalam komuniti.


“Lima daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Penampang 184 kes, Tuaran 131 kes, Papar 120 kes, Keningau 113 kes dan Beaufort 108 kes. Sementara itu, 18 daerah lagi mencatatkan kes dua angka dan tiga daerah iaitu Semporna, Kalabakan dan Telupid masing-masing mencatatkan kes satu angka.


Manakala, sebanyak 2,690 atau 99 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, empat kes dalam Kategori 3, 17 kes dalam Kategori 4 dan enam kes dalam Kategori 5.


Bagaimanapun, sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Kota Belud dan Tenom manakala masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Sipitang.

bottom of page