• nabalunews

COVID-19: JUMLAH PENUMPANG PENERBANGAN BERKURANGAN KEPADA 26.6 JUTA TAHUN INI - MOT


15 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan antara -72.8 peratus dan -75.6 peratus tahun ini, susulan impak COVID-19.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata berdasarkan semakan semula unjuran senario trafik penumpang Malaysia 2020 MAVCOM, peratusan itu menyaksikan jumlah penumpang akan berkurangan kepada 26.6 juta hingga 29.7 juta berbanding 109.2 juta penumpang, tahun lepas.

Jelas beliau, syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh tiga tahun untuk pulih sepenuhnya daripada impak wabak itu, namun tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak di dalam dan luar negara.

“Sebagai persediaan kepada pembukaan sektor pengangkutan udara, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi bersetuju antara lain supaya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengurangkan caj pendaratan dan parkir pesawat melalui mekanisme kontrak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai mekanisme yang dirangka kementerian itu bagi membantu dan memulihkan semula industri penerbangan tambang murah.

Hasbi berkata selain pengurangan caj pendaratan dan parkir pesawat, kementerian telah menyenaraikan beberapa syor kepada Economic Advisory Council (Majlis Penasihat Ekonomi), bagi mengatasi masalah pekerja sektor penerbangan yang hilang pekerjaan dan membantu syarikat penerbangan.

Antara syor itu ialah pengecualian had bilangan pekerja sektor itu yang layak menerima bantuan kewangan menerusi Program Subsidi Upah di setiap syarikat, insentif kewangan bagi promosi dan pemasaran tiket serta rebat utiliti penerabangan dan operator lapangan terbang.

“Selain itu, peruntukan geran sepadan untuk promosi dan insentif penerbangan bagi menggalakkan penerbangan ke Malaysia dan pengurangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja oleh majikan dari 13 peratus kepada 10 peratus bagi sektor itu,” katanya. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com