• nabalunews

COVID-19: KES BAHARU 957, SEMUA PENULARAN DALAM NEGARA - KP KESIHATAN


1 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR: Kes positif baharu COVID-19 hari ini kembali meningkat kepada 957 kes berbanding 659 semalam, dengan kesemuanya melibatkan penularan dalam negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun menurutnya jumlah kes pulih sepenuhnya mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 972 kes menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya sehingga kini sebanyak 22,220 kes atau 68.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 32,505 kes.

Sebanyak 97 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan, dan tiada kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal, 249 kes.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 dalam negara hari ini, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes baharu hari ini melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 644, Selangor (225), Pulau Pinang (23), Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11), Negeri Sembilan (8), Perak (5) dan Kuala Lumpur (4).

Selain itu, Kedah, Melaka, Johor dan Putrajaya, masing-masing mencatatkan satu kes.

Dr Noor Hisham menjelaskan jumlah kes tinggi di Sabah dan Lembah Klang yang menyumbang kepada 874 kes adalah berikutan lebih banyak pengesanan dibuat di lapangan termasuk pengesanan kontak rapat, dan saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian, Kajang yang mana 91 kes baharu dilapor hari ini.

Selain itu menurutnya 80 kes berkaitan pusat tahanan sementara dan kluster-kluster penjara dilaporkan hari ini, yang terdiri daripada Pusat Tahanan Sementara Tawau sebanyak 54 kes, Kluster Penjara Seberang Perai (14), Kluster Penjara Kepayan (6), Kluster Benteng LD (3) dan Kluster Rumah Merah (3).

Dr Noor Hisham berkata dua kluster baharu turut dikesan iaitu Kluster Usaha melibatkan daerah Klang dan Petaling di Selangor; serta Kluster Tembaga yang melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya Pulau Pinang.

Bagi Kluster Usaha, dari 25 individu yang disaring sehingga hari ini termasuk kes indeks ke 30,697 yang dikenal pasti positif COVID-19 Jumaat lepas, sebanyak 16 lagi disahkan positif hari ini, lima negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan.

Manakala bagi Kluster Tembaga, dari kes indeks ke 29,359 yang dikenal pasti positif, Rabu lepas, saringan ke atas kontak rapatnya telah mengesan enam lagi kes positif COVID-19 dan kesemua mereka telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga pukul 12 tengah hari ini di bawah kluster berkenaan sejumlah 69 individu telah disaring, yang menyaksikan tujuh kes dikesan positif, 13 negatif dan 49 lagi masih menunggu keputusan. – Bernama