- Wartawan Nabalu News
COVID-19: JANGKITAN BAHARU DI SABAH TURUN KE DUA DIGIT

15 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 97 kes, iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 19 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 51,429 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, satu kes kematian turut direkodkan hari ini iaitu di Keningau.
"Kes jangkitan mengikut daerah ialah, Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 26 kes baharu, Kalabakan (15 kes), Tawau (sembilan kes), Papar, Kota Belud dan Kinabatangan masing-masing lapan kes, Penampang (enam kes), Putatan (lima kes), Lahad Datu (tiga kes), Nabawan (dua kes), Tenom, Kunak dan Tuaran masing-masing satu kes.
"Sebanyak 13 daerah tidak mencatatkan kes baharu hari ini iaitu Kota Marudu, Sandakan, Semporna, Kudat, Pitas, Telupid, Ranau, Tambunan, Beluran, Sipitang, Kuala Penyu, Tongod dan Beaufort," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, daripada 97 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 52 kes berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 14 kes, saringan kluster sedia ada (26 kes), pra kemasukan wad / rawatan (tiga kes), dan dua kes dari lain-lain kategori.
Beliau berkata, seramai 170 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 49,538 orang.
"Pada hari ini, sejumlah 964 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 387 orang di hospital, 573 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tiga orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
"Bilangan pesakit Covid-19 dalam ICU ialah 62 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.