Covid-19: Kes harian di Sabah kembali kepada ‘zon stabil’
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Kes harian di Sabah kembali kepada ‘zon stabil’


23 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah jangkitan harian Covid-19 di Sabah kini kembali kepada ‘zon stabil’ dengan 65 kes baharu dicatatkan, iaitu 84 lebih rendah daripada jumlah kelmarin.


Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, keadaan jangkitan di semua daerah di Sabah kini stabil dan terkawal selepas satu kluster pendidikan baharu di Lahad

Datu semalam telah disytiharkan.


“Cuma satu daerah sahaja yang mencatatkan kes baharu dua angka, iaitu Kota Kinabalu dengan 20 kes (+7).


“Daerah-daerah sekitar Kota Kinabalu seperti Tuaran (2), Penampang (6) dan Papar (9) juga mencatatkan jumlah kes baharu yang rendah, malah tidak ada kes baharu direkodkan di Putatan,” katanya dalam satu kenyataan.


Jelas Masidi, tidak ada tambahan kepada jumlah kes positif di kalangan pelajar di Kluster SM Sains Lahad Datu setakat ini, dan daerah tersebut juga tidak mencatat sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.


Sementara itu, sebanyak 16 daerah mencatatkan kes harian satu angka dan tujuh daripada daerah-daerah tersebut masing-masing merekodkan hanya satu kes baharu.


“Tidak ada jangkitan baharu di rekodkan di 10 daerah. Daerah-daerah tersebut ialah, Beluran, Kunak, Lahad Datu, Pitas, Putatan, Ranau, Sipitang, Tambunan, Telupid dan Tongod.


“Seramai 60 orang daripada 65 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua (2) orang dalam Kategori 3, seorang (1) dalam Kategori 4 dan dua (2) orang dalam Kategori 5.


“Bagaimanapun, satu kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Kuala Penyu,” katanya.

bottom of page