Covid-19: Kes harian di Sabah menurun ke bawah angka 2,000
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Kes harian di Sabah menurun ke bawah angka 2,000


5 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes jangkitan Covid-19 baharu di Sabah hari ini kini telah jatuh di bawah angka 2,000 iaitu 1,778 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 350,574 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, dearah Kota Kinabalu masih menjadi penyumbang utama kepada kes-kes harian di Sabah dengan 511 kes dicatatkan hari ini.


Beliau berkata, kes-kes daftar lewat (backlogs) di daerah ini yang banyak mempengaruhi jumlah kes harian juga telah berkurangan dan hari ini cuma 71 kes tertangguh yang melebihi lima hari


“Secara keseluruhan, terdapat tanda-tanda kearah penstabilan jumlah kes-kes harian.


“Sebagai perbandingan 17 daerah mencatat penurunan jumlah kes-kes baharu berbanding lapan daerah yang merekodkan pertambahan. Hanya tiga daerah mencatatkan kes-kes baharu pada kadar tiga angka, iaitu Kota Kinabalu 511 kes, Penampang 206 kes dan Tuaran 168 kes.


“Sebanyak 21 daerah mencatatkan kes baharu dua angka dan tiga daerah lain masing- masing merekodkan kes-kes baharu satu angka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Bagaimanapun, peratusan kes-kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik dalam komuniti masih terlalu tingggi, iaitu 65.47 peratus pada hari ini.


Tambahnya, mengikut statistik hari ini, kes-kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik merupakan penyumbang utama kes-kes baharu di 23 daripada 27 daerah di Sabah.


Sebanyak 1,745 atau 98.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, 11 pesakit dalam Kategori 3, 13 orang dalam Kategori 4 dan sembilan orang dalam Kategori 5.


Sementara itu sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan, Kota Belud, Tawau dan Beaufort.

bottom of page