• Wartawan Nabalu News

Covid-19: Kes jangkitan baharu di Sabah terus meningkat 315 kes



5 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes jangkitan baharu Covid-19 di Sabah melonjak melepasi paras 300 hari ini dengan 315 kes, meningkat 34 kes berbanding hari sebelumnya.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kali terakhir kes harian melepasi paras 300 ialah pada 30 Mac lalu.


“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, sebanya 309 adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, masing-masing satu kes dalam Kategori 3 dan Kategori 5 serta empat kes dalam Kategori 4,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, pada hari ini lebih banyak daerah mencatatkan peningkatan kes baharu yang tinggi.


“Antaranya Tuaran 41 kes (+22), Kota Kinabalu 84 kes (+16), Putatan 26 kes (+11), Sandakan 39 kes (+8), Lahad Datu 11 kes (+7) dan Tenom 7 kes (+5).


“Hanya tiga daerah merekodkan penurunan ketara iaitu Penampang 20 kes (-18), Beaufort 5 kes (-9) dan Kunak 0 kes (-6).


“Manakala tiga lagi daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu berbanding satu daerah sahaja kelmarin. Sebanyak lapan daerah mencatatkan kes dua angka dan 16 daerah mencatatkan kes satu angka,” katanya.


Dari segi bilangan pesakit Covid-19 sembuh seramai 282 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 374,066 orang.


“Manakala 266 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 261 orang di hospital, dua orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam serta tiga orang lagi difasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 11 orang iaitu sembilan orang di ICU/repurposed kritikal care dan dua orang di open ward (HDW/kubikel/akut) manakala empat orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.