• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KLUSTER PENJARA PENYUMBANG UTAMA PENINGKATAN MENDADAK KES BAHARU SANDAKAN



19 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kluster Penjara antara penyumbang utama peningkatan mendadak kes baharu daerah Sandakan daripada 21 kes direkodkan kelmarin, kepada 316 kes baharu hari ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 316 kes yang dicatatkan di daerah itu hari ini, 218 kes adalah daripada Kluster Penjara.


“Selebihnya adalah daripada Kluster Jambatan B (18 kes), Kluster Bomba (Sembilan kes), Kluster Karamunting (tiga kes), Kluster Mesra (dua kes) dan Kluster Bongaya (satu kes).


“Manakala saringan kontak rapat (55 kes), saringan bergejala (tujuh kes) dan masing-masing satu kes

daripada saringan kemasukan hospital, saringan masuk kerja dan saringan Brought In Dead (BID),” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, daerah Lahad Datu pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 105 kes.

Daripada jumlah ini, Kluster Sabaru (91 kes), Kluster Haven (satu kes), saringan bergejala (11 kes), saringan komuniti dan saringan kendiri masing-masing satu kes.


Beliau berkata, daerah Kota Kinabalu pula mencatatkan 95 kes baharu hari ini, Tawau (45 kes), Penampang (37 kes), Tuaran (20 kes), Semporna (lapan kes), Putatan (tujuh kes), Papar (enam kes), Kudat dan Beluran masing-masing lima kes.


“Daerah Pitas pula mencatatkan tiga kes baharu, Keningau dan Kunak masing-masing dua kes, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu dan Tenom masing-masing satu kes,” katanya.


Katanya lagi, Ranau, Beaufort, Kinabatangan, Sipitang, Tambunan, Tongod, Telupid dan Nabawan tidak mencatatkan kes baharu hari ini.