• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KOTA KINABALU CATAT 159 KES BAHARU


28 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Saringan banduan Kluster Penjara Kepayan telah selesai sepenuhnya dan daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu sebanyak 159 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah yang telah disaring ialah seramai 2,701 orang.

“Kumulatif kes positif adalah sebanyak 1,652 orang melibatkan 1,212 warganegara dan 440 bukan warganegara,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 546 kes.

“Bilangan kematian adalah tujuh orang. Jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini sebanyak 13,701 kes. Sehingga hari ini, seramai 7,225 pesakit dilaporkan telah sembuh. Manakala, seramai 3,796 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya.

Katanya lagi, kes-kes jangkitan Covid-19 mengikut daerah, Sandakan mencatatkan kes positif sebanyak 116 kes, Tawau (101), Lahad Datu (44), Tuaran (28), Putatan (25), Papar (15), Keningau (11), Penampang (sembilan), Beaufort (lapan kes), Kota Belud (tujuh kes), Semporna dan Ranau masing-masing enam kes baharu, Kudat (empat kes), Kinabatangan dan Tambunan masing-masing dua kes baharu, Kunak, Tenom dan Nabawan masing-masing satu kes.

Tongod masih kekal sebagai zon hijau. Daerah-daerah lain, Kota Marudu, Telupid, Sipitang, Pitas, Kuala Penyu dan Beluran tiada kes baharu dicatatkan pada hari ini.