COVID-19: LAPAN KLUSTR BAHARU, TIGA DI SABAHCOVID-19: LAPAN KLUSTR BAHARU, TIGA DI SABAH
top of page
  • nabalunews

COVID-19: LAPAN KLUSTR BAHARU, TIGA DI SABAH


21 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti lapan kluster baharu pada hari ini (21 Okt), di seluruh negara dan tiga daripadanya di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster baharu dari Sabah ialah Kluster Basung (Kudat), Kluster Inai (Kudat) dan Kluster Tempayan (Kota Kinabalu dan Penampang).

“Kluster-kluster lain ialah Kluster Long, Kluster Cahaya, Kluster Bah Kota, Kluster Melati dan Kluster Bina Labuan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noor Hisham berkata, Kluster Basung melibatkan sebuah jeti nelayan di Kudat. Sebanyak 19 kes dikenal pasti positif Covid-19 dalam kluster ini melalui saringan bersasar ke atas individu yang terlibat dengan perniagaan ikan di Kudat.

“Sehingga 21 Oktober (hari ini), jam 12 tengah hari, sejumlah 174 individu telah disaring, di mana 19 kes dikesan positif dan 148 individu negative dan tujuh individu masih menunggu keputusan.

“Kluster Inai juga melibatkan Kudat. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17773) telah dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di PPR Taman Ehsan, Kota Belud.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19. Sehingga 21 Oktober jam 12 tengah hari, sejumlah 92 individu telah disaring, di mana, lapan kes dikesan positif dan 84 masih menunggu keputusan saringan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Tempayan melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Penampang. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-11619) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 1 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 18 lagi kes positif. Sehingga 21 Oktober (hari ini) jam 12 tengah hari, sejumlah 21 individu telah disaring, di mana 19 kes dikesan positif, seorang individu negatif dan seorang lagin masih menunggu keputusan.

Noor Hisham berkata, Kluster Long pula melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor dan Titiwangsa, Lembah Pantai, Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16746) telah dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 12 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 17 lagi kes positif.

“Manakala Kluster Cahaya pula melibatkan daerah Petaling di Selangor dan daerah Tampin di Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-20394) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 17 lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Kluster Bah Kota melibatkan Selangor dan Seremban di Negeri Sembilan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-17988) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti sembilan lagi kes positif.

Kluster Melati, melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan daerah Klang Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18002) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif Covid-19.

Kluster Bina Labuan pula melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22943) dikenal pasti positif hasil saringan kemasukan hospital pada 21 Oktober dan meninggal dunia pada hari yang sama di Hospital Labuan. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif Covid-19.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page