top of page
  • nabalunews

COVID-19: PKPD TAMAN MESRA SANDAKAN DILANJUTKAN, PKPD TAMAN MAWAR TAMAT

Gambar Hiasan

10 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Mesra Sandakan dilanjutkan sehingga 24 November ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan melanjutkan PKPD di kawasan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Taman Mesra, Sandakan bermula 28 Oktober 2020 sehingga 10 November.

“Atas nasihat KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di Taman Mesra, Sandakan selama 14 hari bermula 11 November,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, PKPD di Taman Mawar Sandakan pula ditamatkan pada hari ini, bagaimanapun lokaliti itu masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Sabah yang sedang berkuatkuasa.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Taman Mawar, Sandakan bermula 28 Oktober hingga 10 November.

“Sehingga kini, berdasarkan penilaian risiko dan saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati kes positif Covid-19 di kawasan ini telah menurun dan terkawal.

“Sehubungan itu, atas nasihat KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju agar pelaksanaan PKPD di Taman Mawar, Sandakan ditamatkan pada 10 November seperti yang dijadualkan,” katanya.

bottom of page