• nabalunews

COVID-19: PNS SEDIA BANTU PENDUDUK SANDAKAN CEBURI KEUSAHAWANAN FRANCAIS


2 DIS 2020


SANDAKAN: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) bersedia membantu penduduk Sandakan, yang terkesan dengan pandemik COVID-19 untuk menceburi bidang keusahawanan francais, kata Pengerusinya Datuk Zakaria Mohd Ideris.

Prihatin dengan penduduk di daerah ini, zon merah sejak awal Oktober lepas mencatatkan 1,047 kes aktif sehingga semalam, katanya kepentingan mengimbangi matlamat melindungi nyawa dan memelihara sara hidup rakyat perlu ditekankan, khususnya ketika berhadapan dengan pandemik itu.

“Dalam menghadapi cabaran getir kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan akibat pandemik ini, usaha ini memberi peluang kepada penduduk untuk meneroka bidang keusahawanan dan meningkatkan taraf hidup dengan menjana pendapatan melalui perniagaan francais dan pra-francais,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang tekad untuk memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan setempat, khususnya di Libaran dekat sini, berkata tumpuan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 tidak terhad kepada keperluan dan kemudahan infrastruktur setempat sahaja, malah turut melibatkan usaha membantu mereka yang terkesan dari sudut ekonomi.

“Pada 21 Sept lepas, PNS telah menganjurkan Program BizFrancais Sabah yang mengumpulkan pelbagai agensi dan jenama francais dan pra-francais di bawah satu bumbung untuk memberi peluang kepada masyarakat di Sabah menimba ilmu dan meneroka potensi peluang perniagaan francais.

“Sejak 2017 hingga kini, PNS telah memberi pembiayaan kepada usahawan francais di Sabah sebanyak RM4.23 juta, dan giat membangunkan usahawan kecil ke arah francais di Sabah melalui program Business In Transformation (BIT),” katanya yang juga Ahli Parlimen Libaran. Zakaria berkata selain kemudahan pembiayaan perniagaan, PNS turut aktif menganjurkan program perkongsian ilmu dan kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai bidang keusahawanan, khususnya perniagaan francais.

Katanya melalui Institut Francais PNS, siri Program Pembangunan Keupayaan Keusahawanan (PPKK) telah diadakan di Sabah dan terbaharu di Sandakan pada September lepas bertujuan memberi pelbagai maklumat mengenai bidang keusahawanan kepada orang awam dengan harapan dapat membangunkan lebih ramai usahawan tempatan.

“Potensi industri francais tempatan masih luas untuk diterokai dan usahawan mikro terutamanya, perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menyertai industri francais bagi mengembangkan perniagaan.


“PNS prihatin dengan situasi semasa yang melanda negara dan akan sentiasa melihat keperluan dari semasa ke semasa bagi membantu usahawan meningkatkan sumber pendapatan dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi industri francais selepas pandemik COVID-19,” katanya. - Bernama