top of page

Penyedia perkhidmatan Internet, media sosial lebih 8 juta pengguna dianggap berdaftar mulai 2026

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

ree

15 Disember 2025


CYBERJAYA: Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, penetapan itu dilaksanakan menerusi pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang dikenali sebagai Peruntukan Deeming.


“Langkah ini bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.


“Pendekatan ini juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Jan 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia," menurut kenyataan MCMC hari ini.


Jelas suruhanjaya itu, Peruntukan Deeming bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.


Katanya, pelaksanaan Peruntukan Deeming itu akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, berkuat kuasa 1 Januari 2026.


“Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan itu hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.


“Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global masing-masing seperti biasa, dan pendekatan itu sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar,” menurut kenyataan itu lagi.


Dalam masa sama, MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page