• Wartawan Nabalu News

COVID-19: REMAJA 14 TAHUN ANTARA 12 KES KEMATIAN DI SABAH


3 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Remaja lelaki bukan warganegara berusia 14 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth adalah antara 12 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Sabah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, remaja lelaki berkenaan mempunyai latar belakang penyakit tibi meningitis dan hidrosefalus.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan kes kematian itu lapan kes dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, dua di Hospital Duchess of Kent Sandakan dan masing-masing satu kes di Hospital Kudat dan Hospital Tawau.

“Kesemuanya berumur antara 14 hingga 82 tahun iaitu terdiri daripada lapan orang tempatan dan empat bukan warganegara mempunyai pelbagai latar belakang penyakit termasuk penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan asma,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 263 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya lagi, sehingga kini terdapat 94 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.