Covid-19: Sabah catat 2,969 kes baharu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat 2,969 kes baharu


10 Februari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes harian Covid-19 di Sabah menurun sedikit hari ini kepada 2,969, kurang 364 kes berbanding kelmarin, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun.


Walau bagaimanapun, katanya jumlah kes di hampir semua daerah adalah tinggi dan mengambil kira peratusan kes simptomatik yang amat tinggi iaitu 56.35 peratus, kadar penularan virus adalah lebih cepat dan ini boleh mengakibatkan kes-kes jangkitan harian yang tinggi.

“Lapan daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu (565 kes), Penampang (346 kes), Sandakan (327 kes), Tuaran (248 kes), Papar (241 kes), Tawau (181 kes), Lahad Datu (151 kes) dan Ranau (121 kes).


“Manakala, sebanyak 18 daerah lagi mencatatkan kes dua angka dan hanya Kalabakan yang mencatatkan kes satu angka,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Menurut Masidi, sebanyak 1,673 kes daripada 2,969 jumlah kes hari ni merupakan kes simptomatik atau bergejala.


“Kes-kes simptomatik atau bergejala adalah penyumbang utama kepada kes-kes baharu di hampir semua daerah di Sabah khususnya daerah-daerah yang merekodkan kes harian tiga angka seperti Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Tuaran, Papar, Tawau, Lahad Datu dan Ranau.


“Peratusan kes-kes simptomatik yang tinggi bermakna virus Covid-19 sudah bertapak dalam komuniti di daerah-daerah berkenaan dan jangkitan secara sporadik sudah menjadi punca jangkitan utama,” jelasnya.


Masidi juga menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan berkenaan untuk mengurangkan perjalanan di tempat-tempat sesak dan mematuhi semua SOP sepanjang masa kerana risiko jangkitan di tempat awam yang sesak adalah sangat tinggi.

bottom of page