Covid-19: Sabah catat 251 kes baharu, sedikit peningkatan berbanding semalam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat 251 kes baharu, sedikit peningkatan berbanding semalam


29 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sedikit peningkatan kes Covid-19 hari ini dengan 251 kes, iaitu pertambahan sebanyak 57 kes berbanding semalam.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah kes pada hari ini berikutan daripada lebih banyak daerah yang mencatat pertambahan kes jangkitan baharu berbanding semalam


“Sebanyak 15 daerah mencatatkan peningkatan kes baharu berbanding hanya lapan daerah yang mencatatkan penurunan kes harian. Empat daerah lagi kekal sebagaimana catatan semalam.


“Kecuali di Beluran dan Sipitang yang mencatatkan peningkatan kes dua angka, daerah-daerah lain yang mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini bertambah pada kadar satu angka sahaja.


“Dengan pertambahan kes-kes baharu di lebih banyak daerah, jumlah daerah yang mencatatkan kes dua angka juga bertambah daripada lima daerah semalam kepada 10 daerah hari ini,” ujarnya.


Tambah Masidi, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 64 kes, Sebanyak 15 daerah (18 semalam) mencatatkan kes satu angka dan daerah Telupid dan Kalabakan tidak mencatatkan sebarang kes baharu.


“Peratusan kes-kes jangkitan sporadik masih tinggi iaitu 54.58 peratus.


“Walau bagaimanapun, ia dilihat semakin menurun walaupun secara perlahan-lahan. Hari ini cuma 12 daerah merekodkan kategori ini sebagai punca utama jangkitan baharu


“Seramai 244 orang atau 97.21 peratus daripada 251 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Dua orang berada dalam Kategori 3, empat orang dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5,” katanya.


Sementara itu, sebanyak dua kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu dan Kudat.

bottom of page