Covid-19: Sabah catat 592 kes baharu, 4 kes kematianCovid-19: Sabah catat 592 kes baharu, 4 kes kematian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat 592 kes baharu, 4 kes kematian


23 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini menurun kepada 592 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 213,562 kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata jumlah kes jangkitan Covid di Sabah tidak banyak berubah sejak beberapa hari ini dan hanya sebanyak 49 kes menurun hari ini berbanding 641 kes semalam.


“Jumlah kes di daerah Kota Kinabalu adalah yang tertinggi dengan pertambahan enam kes baharu. Begitu juga di Beaufort (+17), Kota Marudu (+14), Kinabatangan (+18) dan Tambunan (+16) yang merekodkan pertambahan.


“Manakala, 202 daripada 592 kes yang direkodkan hari ini adalah kes-kes lewat daftar selama dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui. Di Kota Kinabalu, 74 daripada 76 kes adalah kes lewat daftar, 25 di Papar, 25 di Tenom, 14 di Kota Belud dan Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Masidi berkata, pada hari ini, tiada pesakit direkodkan di dalam Kategori 5, hanya empat orang dalam Kategori 4, tiga orang dalam Kategori 3, 468 orang dalam Kategori 2 dan 102 orang dalam Kategori 1.


Walau bagaimanapun, sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tawau dan Kinabatangan masing-masing mencatatkan satu kes kematian.


Ujarnya lagi, bilangan pesakit yang sembuh pada hari ini ialah 616 menjadikan jumlah kumulatif 202,690 orang.


“Manakala 1,971 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 755 orang di hospital, 1,190 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 23 orang di Pusat Tahanan Sementara atau Penjara manakala tiga orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 87 orang merangkumi 79 di ICU serta lapan di kubikel akut dan 27 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 138.

bottom of page