• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH CATAT 678 KES BAHARU, SELURUH NEGARA 1,054 KES



3 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 678 kes (64.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif harian 1,054 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, Kluster Rumah Merah menyumbang sebanyak 229 kes (73.9 peratus).

“Daripada jumlah keseluruhan 678 kes baharu di Sabah pada hari ini, sebanyak 290 kes daripada kluster- kluster sedia ada, 221 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19, satu kes saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan 166 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya, sehingga 3 November, jam 12:00 tengah hari, sebanyak 1,054 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 34,393 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,135 kes, katanya.