• Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat kes harian terendah hari ini, 297 kes



5 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan jumlah kes harian Covid-19 di bawah 300 kes iaitu sebanyak 294 kes angka terendah sejak beberapa bulan lalu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.


Beliau berkata, kali terakhir Sabah merekodkan jumlah kes di bawah 300 ialah pada 14 Julai lepas sebelum melonjak naik sehingga empat angka.


“Jumlah kes hari ini mencatatkan penurunan 57 kes berbanding 351 kes yang direkodkan kelmarin dan jumlah kes kematian pula sebanyak empat kes iaitu dua kes di Tuaran manakala Kota Marudu dan Sipitang masing-masing mencatatkan satu kes.

“Bagaimanapun, kes di Sabah adalah secara keseluruhannya adalah tidak menentu kerana kes di setiap daerah mencatatkan turun naik setiap hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Masidi, peratusan kes-kes sporadik yang direkodkan adalah tinggi setiap hari dan mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.


“Jangkitan sporadik yang tinggi harus dilihat sebagai satu amaran dan peringatan kepada semua agar mengelak daripada tempat-tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurang risiko jangkitan.


“Lebih-lebih lagi kita baru sahaja dikejutkan dengan varian baharu Omicron yang dikatakan menjangkit lebih cepat daripada varian sebelumnya,” katanya.


Jelas beliau, peratusan kes jangkitan sporadik yang direkodkan hari ini ialah sebanyak 36 peratus, kes jangkitan kontak rapat sebanyak 52 peratus dan lain-lain saringan sebanyak 10 peratus.


Beiau berkata, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 537 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 210,551 orang.


Manakala sebanyak 380 orang telah sembuh termasuk yang discaj dari hospital dan PKRC menjadikan jumlah kumulatif 225,164 orang.