Covid-19: Sabah catat rekod penurunan kes di bawah angka 300
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah catat rekod penurunan kes di bawah angka 300


26 March 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi mencatatkan rekod penurunan kes jangkitan Covid-19 baharu, di mana angka kes harian kini di bawah paras 300.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu di Sabah pada hari ini ialah 269 kes, iaitu penurunan sebanyak 103 kes berbanding semalam.


“Kota Kinabalu mencatat penurunan jangkitan baharu yang terbesar dengan hanya 36 kes berbanding 96 kes semalam. Penampang juga mencatat jumlah kes baharu yang sama dengan Kota Kinabalu, iaitu 36 kes, 17 kes lebih rendah daripada sebelumnya. Putatan dan Papar mencatat penurunan marginal tetapi Tuaran naik tiga kes kepada 26 kes.


“Sebanyak 15 daerah mencatatkan jumlah kes harian dibawah 10 kes, satu petanda Sabah sedang menuju ke fasa penstabilan.


“Sembilan daerah mencatatkan kes baharu dua angka dengan jumlah jangkitan tertinggi 36 kes di Kota Kinabalu dan Penampang. Semporna, Telupid dan Tongod tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya.


Walau bagaimanapun, peratusan jangkitan sporadik masih tinggi pada kadar 57.62 peratus. Ini bermakna risiko jangkitan dan perebakan kekal tinggi khususnya di tempat-tempat awam yang ramai orang.


Sementara itu, seramai 266 orang atau 98.89 peratus daripada 269 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Tiga orang berada dalam Kategori 4. Tidak ada pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 5.


Jelas Masidi, sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di Pitas.


bottom of page