COVID-19: SABAH MEREKODKAN 304 KES POSITIF BAHARU, 6 KES KEMATIAN HARI INICOVID-19: SABAH MEREKODKAN 304 KES POSITIF BAHARU, 6 KES KEMATIAN HARI INI
top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID-19: SABAH MEREKODKAN 304 KES POSITIF BAHARU, 6 KES KEMATIAN HARI INI


11 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 76 kes iaitu daripada 233 kes kelmarin (10 Jun) kepada 309 kes (11 Jun) pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 65,330.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata enam kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di Tawau dan satu kes masing-masing di Semporna, Sandakan, Kuala Penyu dan Beaufort.


Menurut beliau daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, 143 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 91 kes adalah daripada saringan kluster, 30 kes adalah daripada saringan bergejala, 26 kes daripada saringan bersasar dan 19 kes adalah daripada lain-lain kes.


“Berdasarkan pecahan kes pada hari ini, 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala tujuh lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Lahad Datu 32 kes (+27), Kinabatangan 26 kes (+25), Tuaran 21 kes (+17), Kota Belud 17 kes (+16), Tawau 56 kes (+14), Kudat 27 kes (+11).


Manakala tiga daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Penampang (14 kes), Beaufort enam kes dan Sipitang dua kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.


“Walau bagaimanapun, sembilan daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala dua daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kota Kinabalu (-26) dan Sandakan (-23).


Enam daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom dan Keningau


“Trend perubahan angka bagi setiap daerah di Negeri Sabah adalah tidak statik. Peningkatan daerah yang mencatat sifar angka pada hari ini tidak menunjukkan keadaan yang lebih meyakinkan kerana, dengan hanya satu daerah yang berstatus Zon Hijau dan perubahan angka turun naik yang berlaku setiap hari di daerah-daerah bukan Zon Hijau.


"Kesimpulan terbaik yang boleh dibuat ialah masih berlaku kebarangkalian aktiviti ketidakpatuhan yang sangat tinggi kepada SOP yang telah digariskan," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Mengenai jumlah pesakit sembuh, beliau berkata, hari ini sebanyak 235 jumlah pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 62,307 orang.


“Manakala 1,978 orang pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 537 orang di hospital, dan 1,441 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page