• nabalunews

COVID-19: SABAH REKOD KES SEMBUH TERTINGGI HARI INI, 1,934 ORANG



25 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah merekodkan jumlah kes sembuh tertinggi hari ini seramai 1,934 orang, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri ini seramai 21,655 orang.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sejumlah 2,064 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 635 orang di hospital dan 1,429 orang di PKRC.


“Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah 65 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 293 kes.



“Jumlah kumulatif ialah sebanyak 26,912 kes. Hari ini dua kes kematian dicatatkan iaitu kedua-duanya di Sandakan,” katanya.


Katanya lagi, daerah Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 101 kes baharu, Lahad Datu (82 kes), Tawau (35 kes), Penampang (28 kes), Sandakan (15 kes), Putatan (lapan kes), Semporna (Tujuh kes), Tuaran, Pitas, dan Papar masing-masing mencatatkan empat kes baharu hari ini.


“Daerah Kota Belud, Beluran, Keningau, Kuala Penyu dan Kalabakan masing-masing satu kes baharu.


“Manakala Kudat, Tongod, Kunak, Beaufort, Kota Marudu, Sipitang, Tenom, Ranau, Kinabatangan, Telupid dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini,” katanya.


Masidi berkata, hari ini terdapat satu kluster baharu di Lahad Datu iaitu Kluster D’Bajaru mencatatkan sebanyak 56 kes hasil saringan komuniti di Kg Dasar Baru dan Kg Desa Bajau.