Covid-19: Sabah rekod penurunan dengan 639 kes baharu dilaporkan hari iniCovid-19: Sabah rekod penurunan dengan 639 kes baharu dilaporkan hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah rekod penurunan dengan 639 kes baharu dilaporkan hari ini


16 Okt 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini telah menurun kepada 639 kes, iaitu penurunan sebanyak 81 kes berbanding jumlah kelmarin.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 350 adalah kes-kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.


“Selebihnya adalah kes-kes yang didaftar lewat sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui.


“Antara daerah yang terlibat ialah Kota Kinabalu yang mencatatkan 76 kes lewat didaftar dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui, Penampang 44 kes, Kota Belud 49 kes dan Papar 21,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ujarnya, keberkesanan pengambilan vaksin juga dapat dilihat daripada kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari.


“Mereka yang telah lengkap divaksin memiliki imuniti yang lebih tinggi dan kalau pun dijangkiti hanya akan berada dalam pesakit di Kategori 1 dan 2.


“Hari ini cuma dua orang pesakit dalam Kategori 5 dan lima orang dalam Kategori 4. Pesakit-pesakit dalam dua kategori ini adalah mereka yang memerlukan penjagaan rapi kesan jangkitan virus Covid.


“Dalam masa yang sama mereka juga berkemungkinan mengalami penyakit-penyakit lain atau belum menerima vaksin,” tambahnya.


Katanya lagi, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini hanya tiga orang berada di dalam Kategori 3, 546 orang dalam Kategori 2 dan 56 orang dalam Kategori 1.


Masidi menjelaskan bahawa pesakit yang berada di dalam Kategori 1 lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan dan bagi Kategori 2 pula, mereka hanya akan mengalami simptom ringan seperti batuk, demam atau selesema.


Walau bagaimanapun, sebanyak 12 kes kematian telah dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Sandakan dan Semporna manakala Beaufort, Kota Kinabalu, Kota marudu, Pitas, Tambunan dan Tuaran masing-masing mencatatkan satu kes.


“Bilangan pesakit COVID-19 sembuh pada hari ini ialah 901 menjadikan jumlah kumulatif 197,447 orang.


“Manakala 2,204 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 864 orang di hospital, 1,332 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau Penjara manakala satu orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 108 orang merangkumi 102 di ICU serta enam kubikel akutdan 35 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” tambahnya tiada kluster baharu direkodkan hari ini.



bottom of page