Covid-19: Sabah terus catat penurunan kes harian, dengan 1,154 kes hari ini
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Sabah terus catat penurunan kes harian dengan 1,154 kes


10 Mac 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi mencatatkan penurunan kes Covid-19 harian dengan 1,154 kes baharu, iaitu 198 kes lebih rendah daripada jumlah jangkitan semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 357,046 kes. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, 21 daripada 27 daerah merekodkan kes bergejala atau jangkitan sporadik sebagai penyumbang utama kes-kes baharu hari ini. "Walau bagaimanapun, peratusan kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik kekal tinggi pada 60.40 peratus daripada jumlah kes keseluruhan. "Kes bergejala secara konsisten merupakan kategori kes terbanyak di kebanyakan daerah di Sabah," katanya menerusi satu kenyataan hari ini. Tambah Masidi, hanya dua daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini, iaitu Kota Kinabalu (265 kes) dan Papar (109 kes). Sementara itu, 19 daerah lagi mencatatkan kes dua angka, empat daerah iaitu Nabawan, Kunak, Tongod dan Kalabakan mencatat satu angka dan daerah Semporna menjadi daerah tunggal yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu. "Sebanyak 1,138 atau 98.61 peratus daripada jumlah kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tujuh kes dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5. "Dalam pada itu, empat kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Sandakan, Kota Belud, Tenom, dan Keningau," katanya. Jelas Masidi lagi, satu kluster tempat kerja iaitu Kluster Persiaran Palma diisytiharkan tamat hari ini. Kluster ini melibatkan lokaliti Tuaran, Papar dan Penampang. Setakat hari ini, sebanyak 30 kluster lagi masih aktif di Sabah.

bottom of page