• Wartawan Nabalu News

COVID-19: SEJUMLAH 143 KES KEMATIAN DI SABAH SEHINGGA 5 NOV


6 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sejumlah 143 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di Sabah sehingga 5 November, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 48 kes merupakan kematian dalam unit rawatan rapi (ICU).

Katanya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kalangan masyarakat.

“Kes-kes yang tinggi dilaporkan hasil siasatan kontak rapat dan juga penularan jangkitan di dalam pusat tahanan.

“Perkhidmatan perubatan yang disediakan di hospital-hospital adalah masih di tahap optima dan semua kes-kes Covid-19 diberikan rawatan sewajarnya. Disamping tindakan kawalan JKNS, agensi-agensi lain termasuk semua lapisan masyarakat hendaklah memainkan peranan masing-masing membantu melandaikan lengkuk Covid-19 di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Mengenai Kluster Penjara Kepayan, Masidi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di kawasan Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai bermula 21 Oktober lalu dan dijangka tamat pada 16 November ini.

“Ia melibatkan 2,914 orang banduan dan 597 orang kakitangan penjara.

“Setakat 6 November ini, seramai 2,701 orang telah disaring dan 1,652 orang didapati positif. Sehingga hari ini, 1,607 orang disahkan sembuh manakala 585 masih positif dengan 14 orang sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com