• nabalunews

COVID-19 : SINGAPURA LAPOR SATU KES POSITIF JANGKITAN AWAL BAGI STRAIN B117



7 JAN 2021


SINGAPURA: Satu daripada kes melibatkan komuniti yang dilaporkan di Singapura pada hari Rabu, diuji positif jangkitan awal bagi strain B117, iaitu varian COVID-19 yang berpotensi lebih menular dan kini merebak di United Kingdom (UK).


Menurut data lengkap yang dikeluarkan malam tadi, Kementerian Kesihatan republik itu (MOH) memaklumkan, ia melibatkan seorang lelaki, berusia 24 tahun dari Korea yang merupakan pemegang pas kerja yang bekerja di Azur, Crowne Plaza Changi Airport, 75 Airport Boulevard.


Dilabelkan sebagai Kes 59028, MOH memaklumkan tugas beliau termasuk menghantar makanan yang sudah dibungkus kepada kru dan tetamu hotel tetapi beliau tidak berinteraksi dengan pelanggan di restoran (Azur).


MOH berkata lelaki itu diuji positif semasa ujian rutin berjadual (RRT) pada 2 Jan lepas dan diuji sekali lagi dua hari kemudian dan didapati mula mengalami gejala jangkitan pernafasan akut.


Hasil ujiannya juga positif COVID-19 pada 5 Jan dan beliau dibawa dengan ambulans ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit, kata MOH.


"Hasil ujian serologinya juga negatif, menunjukkan bahawa ini mungkin jangkitan semasa. Beliau juga diuji positif awal untuk strain B117 dan sedang menunggu ujian pengesahan lanjut," menurut MOH.


Sehingga tengah hari Rabu, republik itu melaporkan sejumlah 31 kes baharu, dua dari komuniti dan 29 diimport, menjadikan jumlah keseluruhan 58,780 kes.


Kedua-dua kes dalam komuniti, termasuk kes 59028, kini tidak mempunyai hubung kait.


Antara kes-kes terbaharu, 30 tidak bergejala dan dikesan hasil ujian saringan dan pengawasan proaktif kementerian, sementara satu kes mempunyai gejala.


Singapura yang merekodkan berakhirnya kluster COVID-19 penghuni asrama pekerja migran pada 24 Nov 2020, kini mengesan tiga kluster baharu yang mempunyai hubungan dengan kes NewOcean 6, sebuah kapal tangki bunker yang dikendalikan oleh Palmstone Tankers & Trdg Pte Ltd di Pelabuhan Singapura. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com