Covid-19: Statistik jangkitan kanak-kanak membimbangkanCovid-19: Statistik jangkitan kanak-kanak membimbangkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Covid-19: Statistik jangkitan kanak-kanak membimbangkan



12 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Statistik jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun agak membimbangkan kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.


Menurut beliau, sebanyak 50 kes (19.76 peratus) daripada 253 kes Covid-19 kelmarin merupakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang belum layak menerima vaksin.


“Statistik jangkitan yang melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun ini agak tinggi dan membimbangkan.


“Diharapkan semua ibu bapa juga guru-guru di sekolah mengambil langkah-langkah dan inisiatif yang boleh mengurangkan risiko jangkitan keatas mereka yang masih belum layak menerima vaksin," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.


Kelmarin Sabah merekodkan sebanyak 253 kes baharu Covid-19 iaitu meningkat mendadak sebanyak 92 kes berbanding 161 kes yang direkodkan pada Selasa lepas.


Masidi berkata, sebanyak 10 daerah merekodkan kes dua angka berbanding lima daerah sahaja pada Selasa antaranya, Kota Kinabalu 49 kes, Tuaran 29 kes, Kota Marudu 19 kes, Penampang 18 kes dan Sandakan 15 kes.


Hanya daerah Putatan dan Kunak yang tidak mencatat sebarang kes baharu.


Tambah beliau lagi, peratusan jumlah kes kategori Saringan Kontak Rapat adalah sebanyak 45.8 peratus dan kategori Saringan Bergejala pula sebanyak 43.1 peratus.


“Keputusan ini jelas menunjukkan betapa meluasnya virus COVID-19 berada ditengah-tengah masyarakat serta kelalaian ramai orang daripada mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


“Kita mengharapkan kes yang naik mendadak ini bukan berpunca daripada pelbagai acara sambutan Tahun Baru yang membelakangkan SOP dan nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KPM) yang lain.


“Sekiranya acara-acara keramaian menyambut tahun baru adalah punca kenaikan kes hari ini, tidak mustahil kita akan menyaksikan jumlah kes harian yang lebih tinggi untuk beberapa waktu akan datang,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page