• nabalunews

COVID-19: TIGA KLUSTER BAHARU DIKESAN HARI INI - DR NOOR HISHAM


26 OKTOBER 2020


KUALA LUMPUR: Tiga lagi kluster baharu COVID-19 dikesan hari ini, masing-masing satu di negeri Sabah, Negeri Sembilan dan Perak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Noor Hisham kes-kes kluster Kapor di daerah Kudat, Sabah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan komuniti pelauh yang menetap di Kampung Tanjung Kapor.

Katanya, sebanyak 46 kes positif COVID-19 dikesan di dalam kluster tersebut pada 22 Okt lalu dan kesemua kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud, Sabah.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 127 individu telah disaring, yang 46 kes dikesan positif COVID-19 (30 kes baharu) dan 81 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan harian COVID-19 hari ini.

Mengulas mengenai Kluster Hampar di daerah Rembau, Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata kes indeks bagi kluster itu (kes ke-23736) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Rembau.

Katanya saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif COVID-19 dan sehingga tengah hari ini sejumlah 578 individu telah disaring yang lima kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu) dan 477 individu masih menunggu keputusan. Selain itu, Dr Noor Hisham berkata bagi kluster Penjara Tapah di daerah Batang Padang, Perak pula sebanyak 11 kes telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan yang dijalankan di penjara tersebut bermula dari 12 Okt lalu dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan.

Katanya saringan kontak rapat di bawah kluster ini juga telah mengenal pasti empat lagi kes positif COVID19.

“Sehingga 12 tengah hari ini sejumlah 2,268 individu telah disaring, iaitu 11 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu) dan 437 individu masih menunggu keputusan,” katanya.


Mengulas mengenai konsep yang diguna pakai Kementerian Kesihatan dalam menamakan kluster COVID-19, Dr Noor Hisham berkata pemilihan nama kluster adalah berdasarkan latar belakang kes indeks bagi kluster tersebut.

Katanya nama kluster dipilih berdasarkan nama bangunan, taman atau jalan tempat kediaman atau tempat kerja kes indeks bagi memastikan komunikasi berkesan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam kawalan dan pengurusan kluster.

“Selain itu, nama kluster juga boleh dipilih bagi menggambarkan cara penyebaran jangkitan di antara kes indeks dan kontak rapat seperti  kluster Auto yang menggambarkan jangkitan kluster di tempat kerja melibatkan pekerja di syarikat automotif dan kluster Inai yang menggambarkan jangkitan kluster bermula daripada majlis berinai.

“KKM sangat berhati-hati dalam pemilihan nama kluster bagi mengelakkan sebarang keresahan dan stigma kepada pesakit, penduduk setempat mahupun organisasi yang terlibat,“ katanya. - Bernama