• Wartawan Nabalu News

COVID-19: TUJUH KES KEMATIAN DI SABAH


4 NOV 2020

KOTA KINABALU: Tujuh daripada lapan kes kematian yang dilaporkan hari ini adalah di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 271 kes.

Kesemua kes itu dilaporkan di Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Tuaran dan Hospital Tawau.

Satu lagi kes dilaporkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Perak melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 79 tahun, mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, dislipidemia dan penyakit buah pinggang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent Sandakan melibatkan lelaki tempatan berumur antara 56 hingga 83 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, strok, paru-paru kronik dan penyakit jantung.

“Dua kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan seorang wanita dan lelaki bukan warganegara berumur 60 dan 70 tahun mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan kegagalan jantung serta strok.

“Manakala masing-masing satu kes dilaporkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Tuaran membabitkan lelaki tempatan berumur 63 dan 64 tahun mempunyai latar belakang penyakit paru-paru kronok, penyakit darah tinggi dan dislipidemia,” katanya.

Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 82 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.