• nabalunews

COVID: 3,318 KES BAHARU,17 KEMATIAN - KP KESIHATAN


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

12 Feb 2021


KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,318 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes sebanyak 258,306.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau hari ini berkata 3,311 kes adalah penularan tempatan melibatkan 1,673 warga tempatan dan 1,638 bukan warga negara manakala tujuh kes lagi merupakan kes import membabitkan tiga warga tempatan dan empat warga asing.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berjumlah 51,579 kes manakala dalam tempoh sama 17 kes kematian melibatkan warga tempatan dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 953 kes," katanya.

Beliau berkata terdapat 3,505 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia adalah 205,774 kes.

Dr Noor Hisham berkata 258 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 119 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu 1,214 kes diikuti Johor (742 kes) dan Kuala Lumpur (374).


Ia diikuti Kedah (188 kes); Pulau Pinang (149); Sabah dan Negeri Sembilan masing-masing 118 kes; Perak (99); Sarawak (83); Kelantan (79); Terengganu (72); Melaka (45); Pahang (30); Putrajaya (enam); dan Labuan satu kes.

Katanya 14 kluster baharu dilaporkan menjadikan jumlah kluster aktif kini ialah 484 dengan 83 daripadanya mencatatkan pertambahan kes hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 14 kluster baharu itu, 13 membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Seelong, Jalan Perindustrian Elektronik, Jalan Besar Pontian, Ladang Pekan serta Perindustrian Pelepas di Johor.


Selain itu, Kluster Jalan Jelapang dan Jalan Perusahaan Tiga dilaporkan di Perak; Kluster Tapak Bina Damar dan Taman Industri di Selangor; Kluster Tapak Bina Pantai Dalam di Kuala Lumpur, Kluster Selambau di Kedah; Kluster Teknologi Berendam di Melaka dan Kluster Pangkal Changgong di Kelantan.

Baki satu kluster lagi ialah dalam komuniti iaitu Kluster Kampung Teluk di Perak.

Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 478 kluster termasuk tujuh kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Batu 39, Kluster Palut, Kluster Cergas, Kluster Tapak Bina Damai, Kluster Lingkaran Lintang, Kluster Ladang Matamba dan Kluster Rengit Sentral. - Bernama


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com