Covid: 695 kes baharu hari ini, meningkat 198 kesCovid: 695 kes baharu hari ini, meningkat 198 kes
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Covid: 695 kes baharu hari ini, meningkat 198 kes



19 Okt 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini sebanyak 695 kes meningkat sebanyak 198 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 211,252 kes.


Empat kes kematian turut dicatatkan hari ini iaitu dua di Putatan dan masing-masing satu kes di Sandakan dan Kota Marudu.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, faktor yang mempengaruhi peningkatan tersebut ialah pertambahan kes baharu yang agak tinggi di beberapa daerah.


“Ini termasuklah peningkatan kes baharu di Kota Belud dengan +75 kes berbanding semalam, Beaufort +33 kes, Kudat +29 kes, Tenom +23 kes, Pitas +23 kes, Kota Marudu +22 kes, Keningau +19 kes dan Ranau +18 kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, daripada keseluruhan kes yang direkodkan hari ini, 96.12 peratus adalah kes-kes dalam Kategori 1 dan 2, yang lazimnya hanya memerlukan rawatan di rumah atau di PKRC.


Katanya, hanya empat kes berada dalam Kategori 3, manakala dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5. Sebanyak 20 kes lagi masih dalam penilaian pihak JKNS.


Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat supaya terus kekal mematuhi SOP yang telah digariskan kerana faktor yang mempengaruhi perubahan angka setiap hari adalah sikap masyarakat sendiri.


“Analisis kes-kes yang dilaporkan hari ini menunjukkan kes sporadik masih tinggi iaitu hampir 33.7 peratus,” katanya.


Mengenai bilangan pesakit Covid-10 sembuh, beliau berkata, sebanyak 610 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) sembuh menjadikan jumlah kumulatif 200,020 orang.


Manakala 2,057 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 788 orang di hospital, 1,252 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 15 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala dua orang di fasiliti swasta.


Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 107 orang merangkumi 101 di ICU/repurposed kritikal care serta enam di open ward (HDW/kubikel akut) dan 33 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.


Kalabakan satu-satunya daerah di Sabah zon jingga dan daerah-daerah lain masih kekal zon merah.

bottom of page