- Wartawan Nabalu News
COVID: KEGAGALAN PATUHI SOP ANTARA PUNCA PENINGKATAN KES BAHARU DI SABAH: MASIDI

2 April 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Hampir semua kes baharu berpunca daripada kegagalan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Justeru itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun mengingatkan para pemilik premis terus proaktif memastikan pematuhan dalam kalangan individu yang masuk ke premis mereka.
Beliau juga mengingatkan agar rakyat di negeri ini terus mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengekalkan penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka.
"Pada hari ini, Sabah mencatatkan 63 kes positif baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,916 kes dan satu kes kematian direkodkan di Kota Kinabalu.
"Tawau mencatatkan kes tertinggi sebanyak 17 kes, diikuti Kota Kinabalu sebanyak 14 kes, Keningau (13 kes), Lahad Datu (empat kes), Kinabatangan, Kunak dan Nabawan masing-masing tiga kes, Sandakan dan Tenom masing-masing dua kes, Tuaran dan Kota Marudu masing-masing satu kes.
"Sebanyak 16 daerah mencatatkan sifar kes hari ini iaitu Penampang, Kalabakan, Putatan, Kota Belud, Papar, Kudat, Tambunan, Beaufort, Semporna, Sipitang, Beluran, Telupid, Ranau, Pitas, Kuala Penyu dan Tongod," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masidi berkata, jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 43 menjadikan jumlah kumulatif 54,034 orang.
Katanya, seramai 466 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 185 orang di hospital dan 258 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.
"Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 25 orang dan 13 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.