Covid: Kes baharu di Sabah terus meningkat sehingga 1,062 kes, 9 kematian
![](https://static.wixstatic.com/media/d65831_3807907b1d894daa8ee869d128c7d7a6~mv2.jpeg/v1/fill/w_980,h_980,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/d65831_3807907b1d894daa8ee869d128c7d7a6~mv2.jpeg)
5 Ogos 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABAU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini meningkat kepada 1,062 kes, iaitu peningkatan 113 kes berbanding kelmarin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 89,910 kes.
Sebanyak sembilan kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu empat kes di Kota Kinabalu, dua di Sipitang, serta satu kes masing-masing di Tawau, Sandakan, dan Kudat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu dan Zon Merah Covid meningkat kepada 25 daerah.
"Kota Kinabalu terus mencatatkan kes tertinggi harian hari ini dengan 239 kes baharu, diikuti n Tawau (137) kes, Tuaran (114) kes, Penampang (106) kes, Tongod (65) kes, Sandakan (62) kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Masidi berkata, saringan kontak rapat terus menyumbang peratusan tertinggi kes baharu iaitu dengan 569 kes bersamaan dengan 53.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Daerah Kota Kinabalu, Tawau dan Penampang mencatatkan kes saringan kontak rapat yang tertinggi pada hari ini dengan 145 kes di Kota Kinabalu, 88 kes di Tawau dan 77 kes di Penampang.
"Peratusan kes bergejala tanpa diketahui dari mana punca atau apa yang dipanggil kes-kes sporadik semakin meningkat dengan catatan pada hari ini sebanyak 251 kes.
"Kes-kes sporadik yang agak tinggi berlaku di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu (83 kes), Tawau (37 kes), Penampang dan Sandakan masing-masing 27 kes, serta Tuaran (19 kes).
Dalam pada itu, 91.05 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 313 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 654kes sekadar mengalami simptom ringan.
“Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 622 menjadikan jumlah kumulatif 79,827 orang.
“Seramai 4,460 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,001 orang di hospital, 3,432 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 122 orang dan 54 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments