• Marryan Razan

Covid: Sabah catat 720 kes baharu, lima kematian hari ini


15 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sebanyak 16 daerah di Sabah mencatatkan penurunan jumlah kes positif baharu Covid-19 dan 11 daerah merekodkan peningkatan kes.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, secara keseluruhannya Sabah mencatatkan 720 kes positif baharu dan lima kes kematian iaitu dua kes di Sandakan dan Tuaran manakala Kudat mencatatkan satu kes kematian.


“Seperti yang diramal kes harian akan melalui trend ‘yo-yo’ dalam masa terdekat. Setelah turun (-60) kes semalam, hari ini kes keseluruhan negeri Sabah naik (+29) kes.


“Walaupun kes kumulatif di negeri ini naik hari ini, jumlah daerah yang mencatatkan penurunan kes lebih banyak daripada daerah yang mencatatkan peningkatan kes.


“Daerah yang mencatatkan penurunan kes ialah Ranau, Pitas, Kota Kinabalu, Kunak, Kota Marudu, Penampang, Tongod, Semporna, Lahad Datu, Papar, Beluran, Kota Belud, Tawau, Sandakan, Kuala Penyu dan Kalabakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, seluruh bandar utama juga mencatatkan penurunan kes kecuali Putatan dan Kudat, yang masing-masing merekodkan peningkatan sebanyak (+29) kes dan (+28) kes berbanding semalam.


Mengenai bilangan pesakit Covid-19 sembuh, beliau berkata pada hari ini seramai 872 pesakit sembuh termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 196,546 orang.


“Manakala 2,302 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 893 orang di hospital, 1,401 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala dua orang di fasiliti swasta.


“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 117 orang merangkumi 105 di ICU/repurposed kritikal care serta 12 di open ward (HDW/kubikel akut) dan 39 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.