• nabalunews

COVID: TIGA LELAKI MALAYSIA ANTARA 17 KES IMPORT DI SINGAPURA


Gambar Hiasan

4 FEB 2021


SINGAPURA: Tiga lelaki Malaysia adalah antara 17 kes import baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Rabu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu. Kementerian berkenaan menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan kesemua mereka yang merupakan pemegang permit kerja dan tiba dari Malaysia itu tidak menunjukkan gejala atau asimptomatik.

Kes import lain adalah dari Bangladesh, India dan Indonesia. Mereka merupakan antara 18 kes yang direkodkan di Singapura pada Rabu dengan yang lain adalah penularan tempatan, menjadikan jumlah jangkitan kepada 59,602 kes. Setakat ini, kementerian mengklasifikasikan 2,779 daripada kes dilaporkan sebagai kes import, 2,315 adalah kes komuniti manakala 54,508 melibatkan penghuni asrama.

Singapura telah menamatkan kluster yang dikaitkan dengan NewOcean 6, sebuah kapal tangki ‘bunker’, menjadikan hanya tiga kluster pada masa ini. Secara keseluruhan, 59,320 orang telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti. Sementara itu, 214 pesakit yang mengalami gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, seramai 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di negara ini. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com