COVID: TINDAKAN BIJAK GURU SMK NABAWAN ASINGKAN TIGA PELAJAR WAJAR DICONTOHI SEKOLAH LAINCOVID: TINDAKAN BIJAK GURU SMK NABAWAN ASINGKAN TIGA PELAJAR WAJAR DICONTOHI SEKOLAH LAIN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

COVID: TINDAKAN BIJAK GURU SMK NABAWAN ASINGKAN TIGA PELAJAR WAJAR DICONTOHI SEKOLAH LAIN



26 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Tindakan warden asrama SMK Nabawan mengasingkan tiga pelajar lelaki yang mempunyai simptom tidak sihat sewaktu saringan pelajar masuk asrama harus dicontohi sekolah lain di negeri ini.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun memuji tindakan bijak warden asrama Cikgu Lisa dan pengetua sekolah itu Haliman Darion yang mengasingkan pelajar berkenaan sebelum disahkan positif Covid-19 bagi mengelak penularan wabak.

"Semasa saringan pelajar balik asrama, warden asrama SMK Nabawan menempatkan kesemua pelajar yang bersaudara itu dalam satu bilik asrama yang lain sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19 daripada menjangkiti pelajar lain.


"Tahniah kepada Cikgu Lisa dan pengetua SMK Nabawan. Tindakan mereka dapat mengurangkan kes jangkitan melibatkan pelajar lain di sekolah itu kerana kebijaksaan mereka meletakkan tiga pelajar terbabit dalam satu bilik asrama yang lain," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, ketiga-tiga pelajar berkenaan mendapat jangkitan daripada menghadiri upacara pengkebumian nenek mereka sebelum masuk asrama.


Beliau berkata, setelah keputusan saringan Covid-19 keluar, didapati ketiga-tiga pelajar berkenaan disahkan positif Covid-19.


"Saya berharap apabila berlaku kes-kes seperti ini, pihak sekolah bertindak bijak seperti warden dan guru di SMK Nabawan.

"Kluster Sinsingon di Nabawan kini merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes positif Covid-19," katanya.


Masidi berkata, kluster itu juga dikesan telah menular ke daerah lain iaitu Kota Kinabalu dengan tiga kes dan dua kes di Keningau.


"Ia kini merebak disebabkan ahli keluarga lain yang menghadiri pengkebumian dan merentas daerah di Kota Kinabalu dan Keningau," katanya.


bottom of page