Cubaan menyeludup 2,400 kg ikan bilis ditumpaskan Maritim Malaysia
- nabalunews
- Jul 27, 2024
- 1 min read

27 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar 2,400 kilogram ikan bilis yang dipercayai cuba dibawa ke negara jiran dekat perairan Sandakan Khamis lalu.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, sebelum itu, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur / Op Khas Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin (OCP) Utara Covid-19 dan Op TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Pulau Berhala pada pukul 9.40 pagi hari berkenaan.
Jelasnya, setelah pemeriksaan dilakukan, didapati bot dengan enjin sangkut 40 dan 30 kuasa kuda itu didaftarkan atas lesen perikanan.
Manakala tekong lelaki berusia 57 tahun adalah pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR).
Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke dalam
bot seterusnya menemui 30 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 2,400 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.
Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah lebih RM29,000.
Muhamad Suhairy berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, kesemua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis tanpa kebenaran dan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.
Sementara itu, Muhamad Suhairy berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera.
Comments