top of page

Cubaan Seleweng 2,500 liter Minyak Sawit Mentah Dipatahkan

  • nabalunews
  • 51 minutes ago
  • 1 min read


13 Mei 2025


SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeleweng 2,500 liter minyak sawit mentah (CPO) dalam operasi di Batu 25, Kampung Garinono, di sini, semalam.


Dalam operasi pada jam 4 petang itu, bahan komoditi berkenaan berjaya dirampas selepas dikesan dibawa seorang lelaki berusia 28 tahun menggunakan sebuah lori.


Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, pasukan operasi yang menjalankan operasi rutin mengesan sebuah lori di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan.



"Pemeriksaan ke atas lori itu menemui enam tangki berisi sebanyak 2,500 liter minyak sawit mentah dan sebuah enjin pam minyak.


"Pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, suspek berserta lori dan muatan dirampas sebelum dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.


“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM143,000 dan kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.


Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.


“Pihak PPM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya.


“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page