- nabalunews
CUBAAN SELUDUP KELUAR MINUMAN KERAS GAGAL, PPM LABUAN TAHAN TEKONG BOT

11 Nov 2020
LABUAN: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar minuman keras bernilai RM9,200 menggunakan bot laju kargo gagal, apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Labuan-Menumbok di pantai Navy semalam.
Pemangku Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Labuan Inspektor Shafiq Rezza berkata kapal peronda PPM sedang melakukan operasi rutin di perairan Labuan kira-kira 10.30 pagi sebelum terlihat sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan yang menuju ke Menumbok.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan pelbagai jenis minuman keras yang tidak dibayar cukai dipercayai cuba diseludup keluar dari pulau bebas cukai itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shafiq berkata lelaki yang juga tekong bot berumur 32 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan permit import minuman keras itu.
Selain minuman keras, pihaknya juga merampas bot dengan enjin Yamaha 200HP dengan nilai rampasan kesemuanya berjumlah RM70,000 untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. - Bernama