Cubaan Seludup Minyak Masak Gagal
- nabalunews
- Sep 12
- 1 min read

12 September 2025
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran dalam operasi penguatkuasaan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Suhairy Hussain berkata, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran berjaya ditahan pada jam 12.45 tengah hari di kedudukan 8.79 batu nautika utara, Kuala Mumiang.
Katanya, suspek dilihat cuba membuang beberapa objek ke laut setelah menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa sebanyak 120 pek minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Turut ditemui wang tunai berjumlah RM6,850 bersama salah seorang kru yang ditahan,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.
Menurutnya, tiga kru lelaki warga asing berusia lingkungan 16 hingga 39 tahun turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain bot yang digunakan juga tidak mempunyai dokumen pendaftaran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Bot bersama barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM70,00 beserta kru diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Suhairy berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan perairan negara melalui kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Rondaan serta pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara kekal selamat,” tegas beliau.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menyalurkan aduan ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504 yang beroperasi 24 jam,” katanya.


















Comments