top of page
  • Wartawan Nabalu News

CUEPACS seru kerajaan teliti semula imbuhan penjawat awam


Adnan Mat (kiri) semasa kunjungan hormat beliau terhadap Tun Juhar.

17 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata imbuhan penjawat awam harus diteliti semula berikutan kenaikan harga barangan semasa.


Jelas beliau, kerajaan seharusnya peka kuasa membeli penjawat awam berdasarkan gaji semasa yang diterima.


“Meskipun tidak menjurus kepada kenaikan gaji, kerajaan perlu melihat bagaimana mampu menangani peningkatan kos sara hidup sekaligus memberi kuasa membeli yang selesa.


“Situasi ekonomi kini menyebabkan kakitangan awam merasa terkesan dengan gaji semasa, oleh itu kerajaan harus melihat kembali bentuk-bentuk imbuhan yang ada dan memikirkan bagaimana untuk menambah elaun yang diterima.” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.


Tambah beliau, penjawat awam yang tinggal di kuarters seharusnya tidak mengalami pemotongan dua imbuhan iaitu Bantuan Sara Hidup (Cost Of Living Assistance-COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) seperti yang terjadi di Semenanjung.


“Kita setuju dengan pemotongan ITP tetapi imbuhan COLA seharusnya tetap diberikan kepada mereka bagi memberi kelegaan dan boleh meningkatkan kuasa membeli," ujarnya.


bottom of page