CUKAI MAKANAN LAUT: RESPON JEFFREY MENGUNDANG KEMARAHANCUKAI MAKANAN LAUT: RESPON JEFFREY MENGUNDANG KEMARAHAN
top of page
  • nabalunews

CUKAI MAKANAN LAUT: RESPON JEFFREY MENGUNDANG KEMARAHAN


8 Mei 2021


KOTA KINABALU: Respon Menteri Pertaninan dan Perikanan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan baru-baru ini berkenaan cukai makanan laut telah mengundang kemarahan pelbagai pihak.


Pada hari Ahad yang lalu, ketika melancar Air Asia Farm di Kota Kinabalu, Jeffrey telah memberitahu wartawan bahawa cukai makanan laut akan dilaksanakan apabila 'keadaan sudah kembali OK'.



Membalas jawapan Jeffrey, Datuk Junz Wong yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah telah mempersoal kesamaran yang dibangkitkan.


"Saya amat terkilan dengan jawapan Jeffrey sebagai Menteri Perikanan. Seolah-olah beliau tidak prihatin dan tidak tahu tentang industri perikanan."


"Siapa yang akan tentukan sama ada 'keadaan sudah kembali ok'? Adakah Jeffrey atau Hajiji, atau kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tentukan?


"Hakikat bahawa GRS telah mengumum satu cukai baru ketika ekonomi sedang tenat sudah cukup untuk menunjuk ketidakprihatinan mereka," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.


Junz menambah, jawapan Jeffrey juga membuktikan bahawa Jeffrey tidak memahami industri perikanan Sabah.



"Beliau kata bahawa tiada apa-apa yang perlu diadu sekarang kerana Sabah tidak mampu mengeksport dalam keadaan ekonomi sekarang.


"Terdapat masalah polisi Jeffrey yang akan memberi impak kepada pihak yang berminat melabur di Sabah. Dengan mengetahui suatu hari nanti pelabur bakal dikenakan cukai oleh GRS apabila 'keadaan sudah kembali ok', adakah mereka masih berminat untuk melabur di Sabah?


"Atau mereka sudah mula mempertimbangkan negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang menawar insentif lebih menarik?"


Selain itu, katanya pelabur-pelabur sedia ada yang sudah mempunyai kolam ikan dan kilang di Sabah juga tidak akan meneruskan rancangan untuk mengembangkan pelaburan mereka di sini.


"Atau mereka sudah mula merancang penguncupan pelaburan sedia ada, sebagai persediaan berpindah ke negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang menawar insentif lebih menarik?" soalnya.


Dalam pada itu, Junz turut menjelaskan masalah-masalah yamg dihadapi industri perikanan seperti permintaan pasaran yang sudah menguncup dek kerana pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).



"Eksport berkurang, pelancong pun tiada. Siapa nak makan makanan laut Sabah? Oleh kerana itu, penternak-penternak tidak boleh menuai ikan yang diternak. Mereka terpaksa terus menternak ikan yang ada sehingga sudah melebihi saiz kerana ini merupakan aset.


"Menternak ikan-ikan besar ini memakan kos berlebihan. Kilang-kilang pun terpaksa mencari bilik penghawa dingin yang lebih banyak untuk menyimpan stok berlebihan.


"Harapan mereka cuma suatu hari nanti, apabila keadaan kembali ok, keuntungan yang dijana boleh menanggung kos yang dibayar sekarang.


"Saya rasa, Jeffrey patut mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh industri perikanan. Jangan tahu merepek dan menyusahkan orang sahaja.


"Beliau patut lebih bertanggungjawab dan sensitif, kerana jawapan samar-samarnya itu hanya membingungkan industri perikanan."


Berkenaan manfaat cukai kepada Sabah, Junz berkata cukai bukan satu-satunya cara membawa manfaat kepada Sabah.


"Sepatutnya beliau galakkan penternakan makanan laut kerana ia cara yang lebih mampan berbanding selalu tangkap dari laut.


"Dengan menggalak penternakan makanan laut, kita tidak usik alam sekitar. Kita tidak rosakkan laut. Pada masa yang sama kita boleh memenuhi permintaan pasaran. Bukankah ini cara yang lebih mampan?


"Kerajaan harus sediakan insentif menarik agar pelabur-pelabur asing dan tempatan berminat menceburi bidang akuakultur.


"Kolam-kolam ikan ini mencipta peluang pekerjaan baru. Ia juga membuka industri-industri hiliran baru yang juga mampu mencipta peluang pekerjaan baru."


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page