Curi Barang Kemas Dan Seluar Dalam Wanita
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

13 Mei 2025
TENOM: Seorang lelaki yang memecah masuk sebuah rumah di Kampung Saga, di sini, ditahan bersama hasil curi antaranya barang kemas, jam tangan dan tiga helai seluar dalam wanita.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kelakuan pelik lelaki terbabit bagaimanapun tidak kesampaian apabila berjaya dikesan penduduk kampung.
Difahamkan, jiran mangsa yang menyedari kejadian berkenaan terus bertindak mengepung rumah berkenaan sebelum berjaya menangkap penjenayah terbabit.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang terdengar bunyi kuat dari rumah jirannya.
Susulan itu, katanya, beberapa penduduk kampung mengambil keputusan untuk memeriksa sebelum mengepung rumah berkenaan.
"Ketika itu, suspek lelaki tidak dikenali dilihat memanjat keluar dari tingkap sebuah bilik di bahagian belakang rumah.
"Suspek terus ditangkap oleh penduduk kampung dan merampas beberapa barangan yang dipercayai dicuri lelaki terbabit iaitu beberapa barang kemas, tiga helai seluar dalam wanita dan satu unit pemutar skru," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmir berkata, penduduk kemudiannya menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera.
Katanya, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan dipercayai milik suspek turut ditemui penduduk kampung.
"Sebaik pasukan polis tiba di lokasi, suspek terus ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap sebuah bilik bahagian belakang dengan kesan dipecahkan.
"Ketika kejadian, rumah berkenaan ditinggalkan oleh pemilik rumah yang berada di Kota Kinabalu.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.