DVS sahkan Malaysia bebas jangkitan Streptococcus suis
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

13 Mei 2025
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan Malaysia masih bebas daripada jangkitan bakteria Streptococcus suis yang berpunca daripada ternakan babi.
DVS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima pelbagai reaksi berhubung laporan media tempatan Thailand mengenai kematian melibatkan manusia akibat jangkitan bakteria tersebut yang dikesan di negara jiran itu baru-baru ini.
“Penyakit tersebut atau streptococcosis juga dikenali sebagai deafness fever pada manusia telah mencetuskan amaran kesihatan awam di Thailand.
“Walau bagaimanapun, sehingga saat ini Malaysia masih bebas daripada sebarang wabak penyakit babi yang disebabkan streptococcosis suis,” menurut kenyataan itu hari ini.
Streptococcus suis merupakan bakteria utama yang menyebabkan penyakit streptococcosis pada ternakan babi, khususnya dalam kalangan anak babi selepas tempoh bercerai susu.
Menurut DVS, penyakit itu diklasifikasikan sebagai zoonotik iaitu penyakit yang boleh menjangkiti manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair badan daripada babi yang dijangkiti, atau melalui pengambilan daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna.
“Antara tanda klinikal awal penyakit ini pada ternakan babi ialah demam, selera makan tidak menentu, tempang yang berubah-ubah antara kaki, kelesuan dan kemurungan.
“Ternakan babi yang dijangkiti juga boleh menunjukkan tanda klinikal meniningitis yang lebih ketara seperti menarik telinga ke belakang serta mengecilkan mata, hilang koordinasi pergerakan dan menunjukkan posisi badan yang luar biasa, contohnya duduk seperti anjing,” katanya.
Justeru itu, DVS menasihatkan para penternak dan pengendali ternakan babi agar mengamalkan biosekuriti ladang yang baik, memantau kesihatan ternakan serta melaporkan segera kepada DVS sekiranya terdapat sebarang tanda penyakit pada ternakan.
“Setiap penternak dan pengendali ternakan babi digalakkan berwaspada terhadap perubahan kesihatan diri dan segera mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan sekiranya bergejala,” menurut kenyataan itu.
DVS menegaskan pihaknya sentiasa memantau situasi semasa dan kekal komited dalam memastikan kesihatan haiwan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan terus terpelihara demi melindungi kesihatan awam veterinar dan kesejahteraan rakyat.